Thursday, July 9, 2009

DALAM SESINGKAT WAKTU ITU



Terucap seribu kata tanpa lembut suara uda dara
Terpandang kaku wajah juita tanpa sentuh rasa
Antara ruang suasana tak seiring khatulistiwa
Namun sinar suria dan purnama tetap bersama

Bertingkah lembut bahasa pujangga berpuisi duka
Mencuba menyelami kedasar budi jiwa-jiwa luka
Bertanya tentang memori silam antara adam hawa
Sambil mata menatapi sayu parut-parut luka didada

Terasa segalanya bermula dalam sesingkat waktu itu
Maka rindu tercipta menerpa menyingkap tirai malam
Merangkul resah gulana bila berpaut waktu akan bertemu
Bertentang mata bertingkah suara melerai rindu dendam

Benarkah cinta telah jatuh kepangkuan riba pengembara
Atau hanya sekadar pungguk merindu pada bulan disana
Dalam mimpi berbicara dengan syahdu kata puisi pujangga
Dalam jaga terus mencari teraba-raba kemana haluan tujunya

Kata orang tua kalau gugur bulu mata terkenang orang kayangan
Kalau makan tak selera mandi tak basah itu tanda rindu bayangan
Mulut berkata tapi tak tersuara menatap wajah tak bertentang mata
Apa ertinya sumpah Qais dan Laila setia hidup bersama mati berdua






Marjan S
POS MALAYSIA


DI MATA LAILI



Ada tenang danau di matamu
Berkaca menjadi cermin aku
Lesu mengalir jernih di pipimu
Sewaktu aku akan meninggalmu

Di desa menyaksikan segalanya
Suka duka kita dizaman remaja
Meniti luka menyambut derita
Membentuk jiwa insan mulia

Luka dimataku adalah milikmu
Luka dikakimu adalah milikku
Dirumah tuhan dikaki senjakala
Adalah sejarah zaman untuk kita

Aku tak rela walau terpaksa redha
Berpisah bukan erti restu kita pinta
Demi seutas tambatan persahabatan
Kau ku tinggalkan mengubah haluan

Akan ku pasti kembali kedaerah ini
Tanpa memiliki sebarang penganti
Seandainya kau masih belum dimiliki
Terimalah aku dengan keterbukaan hati

Percayalah dengan seribu akur janji
Tak mungkin aku rela memungkiri
walau berulangkali kita bersumpah
Sesekali resah hati tetap tak berubah




Marjan S

DARI WANITA UNTUK WANITA



Di ujung mata ada nafsu hamba
Menatap gemerlap butir permata
Maka tercipta impian primadona
Tergadai diri tetap aku miliki juga

Siapakah lelaki malang – terpulang
Aku rela menjadi perempuan jalang
Asalkan aku miliki apa ku terbayang
Walau lelaki malang itu suami orang

Sesekali rasa cemburu mewarnai nafsu
Walau terpaksa menentang pesanan ibu
Susah senang ku tak semua orang tahu
Kerana nafsu mengajar aku jadi cemburu

Isteri malang – maaflah kiranya aku berdosa
Merampas bahagia mu dulu dikecapi bersama
Kerana aku insan sejenis mu berhati durjana
Merintis jalan mudah untuk meraih bahagia

Andai kata hati mu terluka dengan kata-kata
Katakanlah ini sudah suratan takdir Maha Esa
Pepatah bangsa tak akan lapuk di hujung dunia
Kalau bertepuk sebelah tangan tak akan bergema



MarjanS



CATATAN DARI DINDING JAMBAN



Siapakah tukang mengampu –diampu dan pengampu
Siapakah si tukang sapu pantang lepa melintas lalu
Selagi terdaya kitakah para gerombolan siraja goda
Semata-mata mencipta nama untuk disanjung mulia
Mencatat kesilapan tanpa menghitung gerak kepayahan
Asalkan dia tidak terus mati selagi tak tercapai hajat dihati

Catatan dari dinding jamban akan terjawabkah sudahnya
Seribu cerita tentang teraniaya serta keperitan insan duka
Selama ini hanya mengisi ruang kosong dalam mimpi kita
Terbawakah pergi oleh tiga burung buta berbeza kasta
Suara dari orang daya bumi ke kamar dingin tuan perdana
Atau pergi mencari rumah sampah untuk selesai masaalah

Baur hanyir sungai kelang tidak lagi kami merasa tengik
Kerana berganti lebih jijik baur hanyir para tukang janji
Terkadang hidup ini terkepung dengan seribu tanda Tanya
Kalau petaka menyinggah pasti akan meninggalkan sampah
Tetapi kalau para menteri menyinggah apakah akan terbawa
Dari kami sebagai ole-ole terima kasih hanyalah maki sumpah







Marjan S
POS MALAYSIA

AKHIRNYA


Ternyata jua akhirnya sebuah cita-cita
Digenggam sekian lamanya diimpikan
Peperangan suara beroleh kemenangan
Terkepung dalam jiwa tak tersuara rasa

Dia lelaki pernah tersungkur ke bumi
Demi mengangkat martanbat bangsanya
Dia lelaki pernah dimaki bangsa sendiri
Kerana dituduh cuba menjual tanahairnya

Dipenjara tanpa tarikh pembebasan
Demi maruah dia rela perjuangkan
Segala kemewahan dia rela tinggalkan
Takut melihat bangsa hilang haluan

Hari ini dia bangkit dari belenggu ikatan
Menjerit menghimpun jiwa-jiwa keadilan
bersumpah dia akan buktikan kebenaran
Semoga bangsa kembali kepangkal jalan

Katanya – lihatlah sandiwara pembohongan
Berlegar di pentas kata meminta dalam tangisan
Hari demi hari rahsia terbongkar tanpa sempadan
Kebenaran mencari rakyat – rakyat mencari pemimpin






MarjanS
POS MALAYSIA

No comments: