Friday, July 17, 2009

artikel utusan malaysia 17 julai 2009

Pos Malaysia urus 1 bilion surat


TIGA pekerja pos malaysia melakukan proses penyisihan bagi memastikan surat diterima pada masa yang telah ditetapkan oleh syarikat itu. - GAMBAR HIASAN


KUALA LUMPUR 17 Julai - Meskipun menghadapi saingan sengit daripada sistem komunikasi pantas dan moden, beban kerja posmen tidak berkurangan, mengedarkan purata satu bilion surat dan bungkusan setahun.

Senarai perkhidmatan yang disediakan oleh Pos Malaysia Bhd., yang sudah wujud lebih dari 175 tahun, semakin meningkat berdasarkan kedudukannya sebagai penyedia eksklusif perkhidmatan mel di Malaysia.

Berdasarkan data, Pos Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia, dan merupakan penyedia pelbagai perkhidmatan, kini mengendalikan mel konvensional sebanyak 1.271 bilion pada 2008.

Pada taklimat kepada anggota Benita, persatuan kakitangan Bernama baru-baru ini, jurucakap Pos Malaysia berkata, syarikat itu komited untuk meningkatkan produk dan perkhidmatannya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat.

Empat puluh peratus perniagaannya dikendalikan di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, ibu pejabat Pos Malaysia yang mempunyai kakitangan seramai 2,400 orang, mengendalikan purata 800,000 mel sehari.

Kebanyakan mel yang dikendalikan oleh Pos Malaysia berkaitan dengan perniagaan seperti penyata bank, penyata kad kredit, bil dan sebagainya.

Terdapat 8,000 posmen di negara ini dengan 1,600 bertugas di Kuala Lumpur.

Daripada 1,600 posmen di sini, 50 terdiri daripada wanita yang dikenali sebagai Posnita yang ditugaskan menjalankan tugas mengekod di ibu pejabat.

Jurucakap itu berkata, Pos Malaysia menetapkan standard perkhidmatan yang realistik iaitu penyampaian hari berikutnya selepas mel dipos bagi penghantaran mel tempatan, dua hari antara bandar-bandar utama dan 3 hingga 4 hari antara tempat lain dalam negara.

Pada masa ini Pos Malaysia mengurus rangkaian bagi lebih 1,000 premis di seluruh negara seperti Pejabat Pos Besar, pejabat-pejabat pos, pejabat pos mini dan pejabat pos bergerak.

Ia mengaji lebih 16,000 pekerja di seluruh negara.

Orang ramai boleh melakukan lebih daripada 160 transaksi berbeza di kaunter pejabat pos yang menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk mengutip bayaran bil utiliti, pembayaran pencen, memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, selain membayar bil-bil telefon mudah alih.

Perkhidmatan pos, kemudiannya Jabatan Perkhidmatan Pos, sudah berkembang sejak ia hanya menghantar surat, dokumen perniagaan dan akhbar kepada kediaman di seluruh negara.

Pengalaman luasnya membentuk asas kukuh bagi menyokong penstrukturan besar-besarnya apabila menjadi sebuah entiti korporat pada 1992.

Pada 2003, Pos Malaysia menstruktur semua keseluruhan operasinya menjadi empat unit perniagaan strategik - PosMel, PosLaju, PosNiaga dad PosLogistik - supaya lebih fokus terhadap pelbagai pelanggan dan pasarannya.

Statistik menunjukkan khidmat mel konvensional menyumbang RM566 juta dari segi perolehan kepada syarikat pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, menjadikannya penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat.

Bagi tahun 2008, Pos Malaysia mencatatkan kerugian bersih RM33.3 juta berbanding perolehan sebanyak RM921.7 juta, meskipun ia mencatat keuntungan operasi.

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya , Datuk Syed Faisal Albar menyuarakan keyakinan beliau bahawa Pos Malaysia akan kembali mencatatkan keuntungan dalam tahun kewangan semasa.

Bagi Faisal yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press Bhd (NSTP), cabaran bagi Pos Malaysia ialah meningkatkan khidmat pelanggannya. - BERNAMA

1 comment:

marjans said...

tapi sayang gaji posmen lebih rendah dari gaji pendatang asing. tak percaya tanya posmen jangan tanya pegawai pejabat pos, kehkehkeh