BINTANG-BINTANG BESERAKAN
Diatas pentas itu dia sebut nama mu
Diatas kertas itu dia mencatat nama mu
Bernada malu dalam lagu berkata syahdu
Ternyata kata-kata itu bukan ucap karyamu
Gelisah mu bukan menanti detik bermula
Tapi gelisah menanti detik bersurai acara
Kerana kau takut terdengar kata-kata cerca
Siapakah si penyair tak punyai hasil karya
Datang bersama malam bersantai dipinggir
Terasing jauh dari kelompok tuan ampunya acara
Bukan sakit mata atau terasa majlis tak bermakna
Kerana kau tak menemui apa bernama sebenarnya
Bintang-bintang beserakan umpama daki perjuangan
Kerdip nur mu tak terbisa menyuluh lorong kegelapan
Cuma mampu menjadi kerdip hias pentas-pentas liburan
Dan sesekali menjadi penyendal akal saban hari tertekan
Siapakah bersalah – siapakah tersalah membena pentas itu
Mengisi seribu sia-sia dengan lagaknya primadona melayu
Membicarakan tentang cinta setia menanti kembalinya rindu
Atau sekadar membena watak-watak iringan kenangan lalu
Marjan S
KL
No comments:
Post a Comment