Friday, July 17, 2009

utusan malaysia 27 may 2009 Pos Malaysia minta kementerian kaji gaji posmen

ARKIB : 27/05/2009

Pos Malaysia minta kementerian kaji gaji posmen

KUALA LUMPUR 26 Mei – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) meminta kerajaan segera mengkaji kadar gaji posmen di negara ini yang dianggap rendah berbanding kakitangan kerajaan lain.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, satu memorandum cadangan tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

“Kami amat berharap kementerian dapat meneliti memorandum ini secara terperinci dan meluluskan cadangan berkenaan.

“Ia penting bagi mengelakkan posmen sedia ada berhenti kerana pendapatan rendah dan memastikan lebih ramai berminat mengisi jawatan sebagai posmen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan Kewangan Pos Malaysia bagi tahun 2008 di sini hari ini.

Aseh berkata, bagi keputusan kewangan berakhir 31 Disember 2008, Pos Malaysia memperoleh hasil sejumlah RM921.7 juta yang mana mencatatkan kenaikan 7.3 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, peningkatan hasil itu dicapai melalui sumbangan Unit Perniagaan Strategik (SBU) dengan pertumbuhan berganda daripada unit runcit (PosNiaga) yang mencatatkan kenaikan 22.1 peratus dan kurier (PosLaju & Asiaxpress) yang meningkat 11.9 peratus.

Tambahnya, PosMel terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan iaitu 61.4 peratus atau RM566.0 juta diikuti PosLaju dengan jumlah kurier 11.5 juta manakala PosNiaga menjadi penyumbang ketiga dengan jumlah urusniaga perniagaan mencecah RM114.5 juta.

No comments: