Wednesday, July 29, 2009

TANGISAN DARI GUNUNG

Mengaum siraja rimba dibelantara

Berganti raung jiwa luka ke kotaraya

Tumbangnya setiap pepohon perkasa

Hilanglah hanggar santai si margastua

Keruh ayer gunung mengalir kemuara

Membuatkan kehidupan ikan jadi merana

Angin damai tak lagi menyinggah permai

Bila seteguh gunung telah menjadi landai

Kerana tangan-tangan puaka telah melunyai

Rakus dengan lahapnya nafsu sang kelembai

Matahari membakar bumi tanpa rasa simpati

Musim silih berganti tak tersusun seperti azali

Alam tidak lagi mengajar tentang ilmu untuk aku

Para siputar alam bermaharaja lela ghairah menipu

Tanah tercinta tidak lagi suburnya merimbun hijau

Laut biru terbentang luas tiada lagi indahnya pulau

Semuanya kerana kepingin dipandang negara maju

Walau kita telah sedar lambat laun bakal kena tipu

Sedari tanah kita berpijak sehingga gunung direnung

Bertukar tangan berganti tuan akhirnya kita termenung

Mengenang masa depan belum tentu menyebelahi untung

Perjalanan jauh hidup kita seringkali terkena kelentong

Kata mereka orang-orang kampung mudah untuk dilelong

Memancing cuma umpan cacing tak perlu umpan sotong

Marjan S

POS MALAYSIA

2009



Tuesday, July 28, 2009

Sunday, July 26, 2009

Bila Pentas Sastera

Bila Pentas Sastera

Disalah Ertikan Oleh Penonton,

Salah Siapa?

“Bila rumah diceroboh orang apakah kesannya dan apabila pentas sastera diceroboh orang apa kesannya”. Dalam soal ini wajarkah kata-kata sedemikian diajukan kepada kita untuk dijawab dalam diri masing-masing atau sekadar kita beranggapan sebagai kata-kata kosong belaka. Wajarkah pentas sastera kita di monopolikan oleh bukan golongan sastera sehinggakan pentas sastera disalah ertikan oleh penonton, salah satu diantaranya apabila selebriti diangkat dalam pentas sastera sehinggakan golongan sastera itu terpinggir, atau khalayak artis dianggap sebagai produk iklan bagi pihak penganjur untuk memeriahkan lagi majlis sastera ditaja pihak tertentu maka terdengarlah akan suara-suara sumbang menyatakan majlis sastera hanyalah sebagai majlis hiburan semata-mata.

Apakah dalam hal ini pihak penganjur amnya tidak terfikir bagaimanakah untuk menyatukan penghibur tanahair dengan khalayak sastera, umpamanya pihak penganjur membuat garis panduan kepada mereka golongan penghibur menghasilkan karya seni sahaja adalah diutamakan untuk terlibat dalam majlis sastera kerana golongan inilah secara langsung terlibat dalam menyumbangkan karya seni tanahair. Sekurang-kurangnya golongan penghibur dimaksudkan berpeluang mengenali lebih rapat lagi khalayak sastera mapan mahupun generasi baru dalam dunia penuh simbolik ini mereka bertukar pendapat dalam genere masing-masing.

Tetapi malang sekali apabila kita menyuarakan kepada pihak bertanggung jawab, mereka berpendapat bahawasanya kebanyakannya golongan sastera ini ada tersimpan rasa irihati dengan golongan artis yang daif tanpa mempunyai hasil karya untuk mereka mempersembahkan kepada khalayak. Kita dimana sedia maklum kehadiran khalayak penonton masakini memenuhi ruang sastera disebabkan pembabitan artis pujaan kesayangan mereka semata-mata. Oleh demikian pernahkah kita bertanya adakah golongan sastera melibatkan diri dimajlis berasaskan hiburan?

Monday, July 20, 2009

Sunday, July 19, 2009

puisi/ DISINIKAH PERKAMPUNGAN SETINGGAN

DI SINIKAH PERKAMPUNGAN SETINGGAN


Bertanya temanku

Yang baru berhijrah ke kota

Di sinikah perkampungan setinggan

Tumbuh meliar bagai cendawan selepas hujan

Berselerakan di sepanjang sungai kelang

Kataku tidak sama sekali

Ini perkampungan bumiputera

Penduduknya sebilangan besar sebangsa dengan kita

Kerjaya mereka hanyalah buruh-buruh kerajaan

Mereka tidak pernah memikirkan tentang keselesaan hidup

Kerana mereka tahu taraf hidup terlalu tinggi

Berbanding dengan imbuhan yang diperolehi

Mereka adalah sebahagian besar penyokong kerajaan

Mereka sanggup hidup di perkampungan bumiputera

Asalkan para peminpin hidup selesa

Di rumah-rumah taman jauh daripada kemiskinan

Merekalah diantara seluruh rakyat malaysia

Tahu mengucapkan terima kasih pada usaha pemimpin

Demi mewujudkan sebuah negara demokerasi

Walau pun mereka sedar mereka adalah rakyat yang tersisih

Oleh peminpin negara merdeka yang tercinta.


MarjanS

2000

Friday, July 17, 2009

bintang-bintang beserakan/PUISI

BINTANG-BINTANG BESERAKAN

Diatas pentas itu dia sebut nama mu

Diatas kertas itu dia mencatat nama mu

Bernada malu dalam lagu berkata syahdu

Ternyata kata-kata itu bukan ucap karyamu

Gelisah mu bukan menanti detik bermula

Tapi gelisah menanti detik bersurai acara

Kerana kau takut terdengar kata-kata cerca

Siapakah si penyair tak punyai hasil karya

Datang bersama malam bersantai dipinggir kota

Terasing jauh dari kelompok tuan ampunya acara

Bukan sakit mata atau terasa majlis tak bermakna

Kerana kau tak menemui apa bernama sebenarnya

Bintang-bintang beserakan umpama daki perjuangan

Kerdip nur mu tak terbisa menyuluh lorong kegelapan

Cuma mampu menjadi kerdip hias pentas-pentas liburan

Dan sesekali menjadi penyendal akal saban hari tertekan

Siapakah bersalah – siapakah tersalah membena pentas itu

Mengisi seribu sia-sia dengan lagaknya primadona melayu

Membicarakan tentang cinta setia menanti kembalinya rindu

Atau sekadar membena watak-watak iringan kenangan lalu

Marjan S

KL

utusan malaysia 27 may 2009 Pos Malaysia minta kementerian kaji gaji posmen

ARKIB : 27/05/2009

Pos Malaysia minta kementerian kaji gaji posmen

KUALA LUMPUR 26 Mei – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) meminta kerajaan segera mengkaji kadar gaji posmen di negara ini yang dianggap rendah berbanding kakitangan kerajaan lain.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, satu memorandum cadangan tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

“Kami amat berharap kementerian dapat meneliti memorandum ini secara terperinci dan meluluskan cadangan berkenaan.

“Ia penting bagi mengelakkan posmen sedia ada berhenti kerana pendapatan rendah dan memastikan lebih ramai berminat mengisi jawatan sebagai posmen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan Kewangan Pos Malaysia bagi tahun 2008 di sini hari ini.

Aseh berkata, bagi keputusan kewangan berakhir 31 Disember 2008, Pos Malaysia memperoleh hasil sejumlah RM921.7 juta yang mana mencatatkan kenaikan 7.3 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, peningkatan hasil itu dicapai melalui sumbangan Unit Perniagaan Strategik (SBU) dengan pertumbuhan berganda daripada unit runcit (PosNiaga) yang mencatatkan kenaikan 22.1 peratus dan kurier (PosLaju & Asiaxpress) yang meningkat 11.9 peratus.

Tambahnya, PosMel terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan iaitu 61.4 peratus atau RM566.0 juta diikuti PosLaju dengan jumlah kurier 11.5 juta manakala PosNiaga menjadi penyumbang ketiga dengan jumlah urusniaga perniagaan mencecah RM114.5 juta.

artikel utusan malaysia 17 julai 2009

Pos Malaysia urus 1 bilion surat


TIGA pekerja pos malaysia melakukan proses penyisihan bagi memastikan surat diterima pada masa yang telah ditetapkan oleh syarikat itu. - GAMBAR HIASAN


KUALA LUMPUR 17 Julai - Meskipun menghadapi saingan sengit daripada sistem komunikasi pantas dan moden, beban kerja posmen tidak berkurangan, mengedarkan purata satu bilion surat dan bungkusan setahun.

Senarai perkhidmatan yang disediakan oleh Pos Malaysia Bhd., yang sudah wujud lebih dari 175 tahun, semakin meningkat berdasarkan kedudukannya sebagai penyedia eksklusif perkhidmatan mel di Malaysia.

Berdasarkan data, Pos Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia, dan merupakan penyedia pelbagai perkhidmatan, kini mengendalikan mel konvensional sebanyak 1.271 bilion pada 2008.

Pada taklimat kepada anggota Benita, persatuan kakitangan Bernama baru-baru ini, jurucakap Pos Malaysia berkata, syarikat itu komited untuk meningkatkan produk dan perkhidmatannya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat.

Empat puluh peratus perniagaannya dikendalikan di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, ibu pejabat Pos Malaysia yang mempunyai kakitangan seramai 2,400 orang, mengendalikan purata 800,000 mel sehari.

Kebanyakan mel yang dikendalikan oleh Pos Malaysia berkaitan dengan perniagaan seperti penyata bank, penyata kad kredit, bil dan sebagainya.

Terdapat 8,000 posmen di negara ini dengan 1,600 bertugas di Kuala Lumpur.

Daripada 1,600 posmen di sini, 50 terdiri daripada wanita yang dikenali sebagai Posnita yang ditugaskan menjalankan tugas mengekod di ibu pejabat.

Jurucakap itu berkata, Pos Malaysia menetapkan standard perkhidmatan yang realistik iaitu penyampaian hari berikutnya selepas mel dipos bagi penghantaran mel tempatan, dua hari antara bandar-bandar utama dan 3 hingga 4 hari antara tempat lain dalam negara.

Pada masa ini Pos Malaysia mengurus rangkaian bagi lebih 1,000 premis di seluruh negara seperti Pejabat Pos Besar, pejabat-pejabat pos, pejabat pos mini dan pejabat pos bergerak.

Ia mengaji lebih 16,000 pekerja di seluruh negara.

Orang ramai boleh melakukan lebih daripada 160 transaksi berbeza di kaunter pejabat pos yang menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk mengutip bayaran bil utiliti, pembayaran pencen, memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, selain membayar bil-bil telefon mudah alih.

Perkhidmatan pos, kemudiannya Jabatan Perkhidmatan Pos, sudah berkembang sejak ia hanya menghantar surat, dokumen perniagaan dan akhbar kepada kediaman di seluruh negara.

Pengalaman luasnya membentuk asas kukuh bagi menyokong penstrukturan besar-besarnya apabila menjadi sebuah entiti korporat pada 1992.

Pada 2003, Pos Malaysia menstruktur semua keseluruhan operasinya menjadi empat unit perniagaan strategik - PosMel, PosLaju, PosNiaga dad PosLogistik - supaya lebih fokus terhadap pelbagai pelanggan dan pasarannya.

Statistik menunjukkan khidmat mel konvensional menyumbang RM566 juta dari segi perolehan kepada syarikat pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, menjadikannya penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat.

Bagi tahun 2008, Pos Malaysia mencatatkan kerugian bersih RM33.3 juta berbanding perolehan sebanyak RM921.7 juta, meskipun ia mencatat keuntungan operasi.

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya , Datuk Syed Faisal Albar menyuarakan keyakinan beliau bahawa Pos Malaysia akan kembali mencatatkan keuntungan dalam tahun kewangan semasa.

Bagi Faisal yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press Bhd (NSTP), cabaran bagi Pos Malaysia ialah meningkatkan khidmat pelanggannya. - BERNAMA

Wednesday, July 15, 2009

JANJI YANG TERTINGGAL

JANJI YANG TERTINGGAL

Mudahnya menyusun kata-kata

Tanpa menyelongkar kesannya

Membena janji tanpa kotanya

Bagaikan senjata makan tuannya

Dia si pintar pemain silangkata

Beralaskan peribahasa bonda

Kerbau berpegang pada tali

Janji tak berpegang pada budi

Hari ini berjuta pengemis tertipu

Dek kata-kata mereka semanis madu

Hari ini si pendusta senyum sipu-sipu

Berjaya menabur janji-janji palsu

Hari ini seorang tua menangis tersedu

Melihat seorang muda menjadi anak hantu

Menyelongkar kesalahan menutup kebenaran

Takut-takut jikalau kejayaan tak berkekalan

Dia dianggap pemuda harapan masa depan

Menjadi lembing sumbing menikam kawan

Mencipta sejarah sebagai bangsa tak bermaruah

Mengambil kesempatan dari mereka berjiwa lemah

MarjanS

POS MALAYSIA

puisi

IKRAM PUJANGGA

Tak teralun lagi madah berhemah

Memujuk jiwa hampa kian parah

Senyuman dalam tangisan berhelah

Inilah ikram pujangga bermaruah

Penyair menangis di padang kata

Kecewa kerana bangsanya dihina

Lembut kata tidak lagi berharga

Kerana terpaut kata sibuta bahasa

Lihatlah pada petaram dijulang

Dikucup bagaikan sigila bayang

Rela melihat pejuang kecundang

Demi menanti kekayaan ditatang

Dimana bangsaku bersifat pemalu

Disindirkan mereka datang bertamu

Bila melihat sicetek akal tapi berilmu

Sanggup melihat bangsa terus ditipu

Ikram pujangga tak lagi berharga – dimulia

Kata mereka sekadar mengkolotkan bangsa

Bangsa tak kemana selagi bahasa dimulia

Siapa terus papa sikaya terus menipu daya

Marjan S

POS MALAYSIA

Tuesday, July 14, 2009

PUISI

BAHASA YANG BAKAL DIGADAI

Akhirnya ternyata jua mimpi kita

Menjadi satu bangsa kaya bahasa

Punya yakin diri meneroka dunia

Gagah dengan seribu daya budaya

Bila keluhan nasib pujangga terbela

Selama dilantun dengan cemuh hina

Hari ini – tersenyumlah pecinta bahasa

Perjuangan suci teramat tinggi harganya

Walau pedih mata akhirnya lapang didada

Bangsaku tak mungkin tersesat lagi di dunia

Mencari melayu berjiwa ikhlas menuntut bela

Menyambung kembali semangat moyang bonda

Katakan pada kuntum terumbu didasar lautan dalam

Satu ketika dulu jiwa pujangga hampir remuk redam

Angkara para khalayak petualang bangsa berhati hitam

Membunuh bangsa dengan lembut kata tapi baur kejam

Demi melangsai segala hutang janji kepada penjajah silam

Dengan segenap tipu daya memutar belitkan makna merdeka

Namun disebaliknya ada tersembunyi rasa kecewa pujangga

Bila keputusan dibuat hanyalah bersifat sementara semata-mata

Apa bila perasaan takut hilang percaya mengepung putaran minda

Dalam senyum bangsa akan berpaling tadah menyokong pecinta

Berakhir juga sudahnya propaganda siputar alam disatu ketika

Satu hari sejarah bernama hari pemilihan pucuk pimpinan Negara

Marjan S

BIla Keputusan Kerajaan Menangguhkan PPSMI

Apakah Kejayaan Memihak Kepada Pencinta Bahasa

PPSMI ditangguhkan sehingga tahun 2012, apakah ianya satu keputusan yang jujur atau sekadar ada sebab-sebab tertentu melibatkan kepentingan kerajaan, kalau tidak apakah alasan yang reliven bagi pihak kerajaan untuk berdepan dengan khalayak yang beria-ria menyokong kerajaan untuk melaksanakan sistem pendidikan sains dan matametik dalam bahasa inggeris.

Adakah dengan keputusan itu pihak kerajaan akan mengkaji semula peranan Institut Terjemahan Negara dalam mengendalikan kemasukan bahan ilmiah dari Negara luar seperti mana dilakukan oleh Negara-negara maju seperti Jepun, Prancis dan Jerman jelasnya Negara-negara berikut telah berjaya menghidupkan peranan Institut terjemahan Negara mereka dalam menterjemahkan bahan ilmiah dari Negara luar kedalam bahasa ibunda mereka. Persoalannya, kenapa kita tidak menuruti jejak mereka demi kabaikan bangsa kita

Sunday, July 12, 2009

Saturday, July 11, 2009

TERKANDAS –TERBABAS DAN TERTINDAS




Terkandas dalam perjuangan adalah dia lelaki mulia

mungkin kerana dia terlalu jujur dengan berkata-kata

kerana dia telah berjanji dengan bondanya tercinta

atau dia terlalu takut dengan hukum Maha Tuhannya

terbabas dalam perjalanan tak bererti tersadung kakinya

mungkin dia terlalu berhati-hati dan berhemah di jalan raya

kerana dia pejalan kaki yang tidak bersikap tergesa-gesa

atau dia takut mati dalam keadaan terburai isi perutnya

tertindas jua akhirnya dia menjelang hari-hari terakhirnya

mungkin kerana kuasa tidak lagi tergenggam di tangannya

dia lelaki tua bersendirian menghimpun kenangan

sambil menasihati generasi muda agar jangan gila kuasa

terkandas - terbabas dan tertindas adalah lumrah manusia

hidup ini sebelum mati harus diuji itulah janji Maha Tuhannya

kerana setiap kelahiran manusia bahagianya ada dialam sana

kerana pesan Nabi - wahai umatku jangan kamu terlalu alpa




marjanspuisi@yahoo.com.my

POS MALAYSIA DAYA BUMI

puisi

JERITAN FAKIR

Ini bukan jeritan pedih saat mati
sewaktu akan terpisah roh dan jasad
menuju ke liang lahad menanti akhirat
diiringi tangis dan sesal anak isteri

ini adalah jeritan para fakir
tak tahu - bila akan berakhir
sedangkan hidup ini terlalu singkat
mengajar kami tak henti mencari nikmat

kami menanti matahari dengan seribu tanda tanya
adakah berkesempatan melihat bulan bercahaya
ditemani anak-anak kami yang tak pernah bertanya
derita di siang hari di mata para pengitip dosa

kota ini tak pernah menjanjikan syurga mahu pun bahagia
ketika perjalanan ini diiringi burung-burung pagi
cuma kami sering terdengar herdik maki
dari mulut para algojo yang tak punya cinta rasa dan airmata

tuan besar yang tak pernah rasa kecewa dan berdosa
lihatlah derita kami para fakir yang akrab dengan matahari
deru dan debu pengiring kami mengelilingi
kota ini
memburu masa tanpa kami mengingati tentang usia

sesekali hujan pagi mengekang semangat murni
untuk kami meneruskan segala-galanya
kerana mengenangkan nasib anak isteri
kami paksakan diri teruskan juga untuk mereka

Kuala Lumpur
tiada lagi air mata kami untuk menadah nasib
selagi mercumu membuatkan mereka menghina kami
selagi sungai kelang dianggap sebagai tong sampah
selagi itulah nasib kami tak berubah.


MarjanS
Seri Labuan
2004




ALGOJO DARI POJOK DINGIN

Di tangan ini ada kerdip kilau belati bersalut makna
di tangan itu ada runcing mata pena bertatah permata
di dalam dada ini ada hukuman mati tanpa tanda Tanya
di dalam dada itu ada amarah maki yang membabi buta
tak pernah melafaz simpati pada cinta si Qais dan Laila
rela menguja demi mempertahankan seribu ikrar setia

Apa gunanya menafikan bahasa yang songsang maknanya
titipan marsum dari para makhdum ghani untuk kawulanya
cerita tentang daerah tiada dalam peta di tanahair merdeka
sedangkan mereka terlupa – mereka berpijak di bumi mana
dari ambang rahim bangsa siapa mereka kenal tentang dunia
atau tangan itu sengaja gatal mencacatkan lembutnya bahasa

katakan ini pesan kasih Algojo dari pojok dingin – buat semua
bukan salah tangan ini kiranya cinta dan janji tak berbalas setia
kerana kasihkan bahasa bonda agar tidak dianggap terlalu hina
mengajak melayu yang sesat kembali keperdu rumpun bangsa
lalu katakanlah pada dunia melayu kami ada sungai darahnya
rohani melayu kami ada dimana-mana walau jasad telah tiada

bangsa kami yang serumpunnya itu tetap berwarna hijau segar
bangsa kami yang kelopak kuntumnya tetap berkembang mekar
walau pun merdeka yang dahulu semakin jauh kami tinggalkan
namun generasi kami masih terus menuntut kemodenan merdeka
cuma sedikit perbezaannya hanyalah penjajahan jasad dan minda
rela menjaja bahasa yang kehilangan daulat maruah bangsa tercinta

hari ini marilah kita berhijrah mencari jalan menuju kedalam diri
bertanya pada atma rohani dengan cinta apa itu yang bernama merdeka
tentang seorang anak muda merdeka yang tak punya erti cinta bahasa
sehingga terlupa nama jalan desa rindu abadi menuju kerumah sendiri
tentang sighani yang mengukir nama tersasar jauh dilingkaran kota kaca
terasa murahnya harga maruah kalau mengaku dirinya orang berbangsa

MarjanS
D.L.O POS
MALAYSIA
DAYA BUMI Oktober 2006




DI DANGAU KEMISKINAN

Kami khalayak yang papa dengan kebendaan
hidup kami acap kali diselubungi pertanyaan
di dangau kemiskinan yang berneonkan rembulan
entah sampai bila kami harus tidak mengapa

percakapan keridik adalah nyanyian sukma
dikala hati hiba disimpul duka nestapa
teringatkan perut anak isteri yang kurang berisi
mengenangkan mimpi yang kurang menjadi

dangau kemiskinan menjadi sandaran perjuangan kami
permana untuk kami memikirkan pertanyaan yang tak terjawab
antara kami- tuan besar yang pandir minda- hilang timbang rasa
memijak kami bagai meratakan tanah merah di pusara bonda

hari ini- tiada lagi kami dengar keluh simpati setulus hati
dari tuan besar pandir mindan dengan murni bahasa bonda
menghayati senandung syair kami yang terluka bahasa
terpercik nyaring suara membolos atap rumah kami yang bilazim

kami warga kecil yang berteduh di dangau kemiskinan
malam kami- sering kami kongsi menjamah pahit hidup
menatap masa depan kami yang dicalit dengan warna redup
dan sering kami meratib pertanyaan bilakah ianya akan berakhir

anak- engkau kami besarkan dengan kesederhanaan
kami bangkitkan semangatmu di dangau kemiskinan ini
semoga satu hari nanti kau takan menangis mendengar penghinaan
kiranya takdir Tuhan meletakkan engkau memihak kepada kami

anak- kemiskinan ini tak bermakna engkau papa segalanya
kekayaan kau lihat itu tak bermakna mereka mulia segalanya
kerana bulan- matahari dan bumi fana ini satu untuk kita semua
kerana Tuhan maha adil dan saksama untuk seluruh makhluknya.





MarjanS
POS
MALAYSIA

Friday, July 10, 2009

NAMANYA SEORANG PEREMPUAN

Namanya seorang perempuan

terpinggir di pentas impian

menanti cinta mengharap janji

telus dari lelaki malang

dia tak pernah kenal musim gugur

menjadi bunga penyeri taman dosa

walau usianya disimbah jingga senja

wajah disalut lesut -rambut semakin kusut

katanya dengan nada syahdu rindu

namaku seorang perempuan

bernafas di zaman telah berubah

hidup umpama perigi mencari timba

lelaki- engkau lamarlah aku

menjadi selimut malam mu

agar aku tidak lagi mendakap dosa

sebagai seorang perempuan jalanan.

MarjanS

Seri Labuan

Bdr Tun Razak


Kepada pembaca yang dihormati,

seandainya puisi-puisi yang terhimpun dalam blog ini tidak menyenangkan anda harap dimaafkan kerana sesuatu yang tercatat adalah realiti kuala lumpur

sekian

SELAMAT MEMBACA

Yang Benar

Marjan S

DI PINGGIR LANDASAN




Bergerincing jejakmu menuju ke utara tanah airku

Melintasi tugu perjuangan kami dengan seikhlas hati

Membelah sunyi dinihari menuju ke daerah cinta

Sarat dengan ribuan perindu anak desa

Sesekali membuatkan kami terhenti berbakti

Melontar rindu ke segenap benua dengan jujur hati

Kerana musim tidak pernah tercatat dalam sejarah

Walau pedih tangan kami diruntun seribu maaf

Walau berbahang resah kami menanggung rindu

Tugu perjuangan kami tetap kami julang ke puncak gemilang

Kerana tanpa kami rindu tidak mungkin terlerai

Janji tidak mungkin tertunai tanpa adanya kami

Setia membanting jasa yang tak seberapa di sini

Renyai senja bagaikan nada irama pengubat duka

Angin sepoi-sepoi bahasa mengutus kenangan kami di desa

Tersayat dada kami bila mengenangkan damainya telah tiada

Bukit yang menjulang gagah telah bertukar menjadi lembah

Bendang yang luas terbentang telah bertukar menjadi belukar lalang

Haruskah kami dipersalahkan kerana menjadi orang yang berjuang

Di pinggir landasan inilah kami telah melafazkan sumpah

Di tengah dada kota inilah kami setia dengan seribu janji

Bersaksikan seluruh butiran batu dan serpihan kaca

Anak desa yang tidak punya seberapa untuk dibangga

Hanya sekadar ingin mengangkat harga diri

Sebagai seorang-orang yang menyumbangkan jasa

Demi agama nusa dan bangsa tercinta.

puisi

DI KAMAR PERSALINAN

Di kamar persalinan

Rumah tumpangan

Kaki Bukit Bintang

Kita berduaan

Ketika renyai hujan

Dan kita panaskan badan

Engkau merangkul aku

Aku merangkul engkau

Dalam rasukan syaitan

Basah keringat gemuruh

Terasa segalanya mahu luruh

Sesekali

Engkau di atas aku

Aku di atas engkau

Sambil kita bermain ombak

Di dataran dada montok

Sesekali

Kita saling menggigit bibir

Dalam kita berkeadaan

Marah-marah sayang

Ketika nafsu kemuncak

Kita seiringan berkata

Ahh…Ahhh….Ahhhhh……

Sungguh betapa nikmatnya

Berahi persetubuhan haram


2000

puisi

CERITA DARI LORONG

Dari lorong kelorong aku lalu

berbagai cerita aku dengar dan aku lihat

dari mulut kemulut tak jemu memperkatakan

tentang sengsara yang dialam

ada kisah yang menyayatkan hati

tak kurang kisah yang menyakitkan hati

tentang seorang lelaki yang enak dibuai mimpi

di pinggir longkang hanyir

di lengannya berlumuran darah

menggambarkan jiwanya parah

di kamar usang pintu belakang

rumah kedai jalan bukit bintang

seorang perempuan separuh jelita

setia menanti dengan kipas cina di tangan

memperagakan seusia perjalanannya

memperdagangkan susuk tubuh yang kian lesu

aku hampiri dan bertanya tentang mengapa

dia menghabiskan sisa hidupnya di lorong itu

gementar suara sayu berbaur amarahnya

dia menjawab dengan sedaya kurang ajarnya

di sini dia masih belum puas

membalas seribu dendamnya

kepada lelaki yang berpura setia

dan aku bertanya lagi

tentang apakah perlakuannya ini

terhukumnya sebuah dosa

dengan senyum dia menjawab

dosa tidak pernah kenal siapa

kerana sejahat-jahat manusia

tuhan masih lagi memberi ruang

untuk hambanya bertaubat.

B.B.M.B

Jalan Melaka 1999

DI KEJAUHAN DOA BUAT BONDA

DI KEJAUHAN DOA BUAT BONDA

Semakin aku dewasa semakin dekat rindu kita

Walaupun aku jauh ditengah putaran kotaraya

Hanya kenangan termampu mendamaikan jiwa

Walau manis tak sehebat gula terasa nikmatnya

Sesekali tidurku terjaga dan menitislah airmata

Mengingati lembut raut wajah dan syahdu suara

Membisik pesan jadilah aku antara insan berguna

Semoga dikemudian hari kehidupan ini tak dihina

Berulang musim panen dan kembang putih komboja

Menutupi pusara disirami rintik embun sejernih cinta

Mengajar aku erti tentang rindu walau hati ini terluka

Kerana budimu tak terbalas walau ku hadiahkan syurga

Dikejauhan doa ku memohon restu ilahi dengan airmata

Buat pengganti diriku si pengembara duka tak punya harta

Kerana nyata dan mimpiku sering diuliti seribu erti sengsara

Kerana mencari sesuap nasi untuk tidak aku menjadi kedana

Buatmu bonda mithali – insan berhati murni tuntutan ilahi

Kemaafan ku pinta padamu sehingga ke akhir hayatku nanti

Sekiranya membuatkan aku berdosa kerana engkau kecil hati

Semoga Maha Tuhan mempermudahkan sewaktu aku mati

Marjan S

Pos Malaysia

puisi

CERITA SEORANG AYAH

Anak ayah – kau hayatilah sejarah ini

Pada zaman serba kekurangan rezeki

Tentang apa yang dicari apa diketemui

Segalanya dilaksnakan untuk anak isteri

Sejarah telah mengajar ayah tentang kepapaan

Menambat nafsu semoga tidak terikut keinginan

Bukan untuk menanam sifat bakhil tuntuan syaitan

Tetapi ayah tidak mahu melihat anak cucu kelaparan

Hari ini – pahit maung kehidupan adalah kenikmatan

Selama ini ayah dan ibu menanggung kesengsaraan

Burjuang untuk masa depan kalian bermati-matian

Bukan niat ayah menadah tangan menagih ehsan

Anak ayah – jangan terpedaya dengan pesona dunia

Jangan bersikap angkuh kepada mereka insan tak berada

Merendahkanlah diri tapi jangan sampai dipijak kepala

Kereana kita hidup bertujuan mencari makam seorang hamba

MarjanS

Pos Malaysia

Daya Bumi

Generasi muda - Terus dominasi hadiah sastera

Generasi muda - Terus dominasi hadiah sastera

Oleh SITI ROHAYAH ATTAN

SAMA ada mahu mengakui atau menafikan, ternyata dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini hadiah-hadiah utama dalam sastera kreatif didominasi oleh penulis generasi baru.

Kehadiran penulis seperti Faisal Tehrani, Zainal Rashid Ahmad, SM Zakir, Aminah Mokhtar, Siti Jasmina Ibrahim, Zaid Akhtar dan ramai lagi semakin dirasai bahangnya.

Menariknya, mereka ini bukan saja aktif dalam penulisan malah menjadikan persatuan, aktiviti sosial dan kebajikan sebagai landasan untuk menambah nilai diri mereka. Menu paling utama ialah melarikan diri dari klise di samping menjadikan penulisan landasan untuk mencari dan mencurah ilmu. Justeru, rujukan dan penyelidikan secara global menjadi fokus mereka.

Bagi menjadi penulis yang verstail, mereka tidak berkompromi dengan hanya satu genre malah melarikan diri dari kongkongan tersebut. Lihatlah Faisal, Siti Jasmina, Zainal dan Aminah yang mampu menguasai novel, cerpen, puisi dan drama.

Fenomena ini mungkin tidak maksimum dikuasai oleh penulis mapan kerana kebanyakan mereka terarah hanya satu genre. Hanya Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said yang mampu menjadi teladan dengan penghasilan yang pelbagai dan konsisten. Karyanya pula mendapat tempat yang baik dalam masyarakat.

Sikap berkarya dengan `mata hati' dan pergaulan yang tiada jurang milik A. Samad ini menjadi idola penulis muda. Sekian ramai penulis generasi muda menimba pengalaman bergaul dengan masyarakat berdasarkan gaya hidup Samad.

Terbaru, penguasaan penulis generasi muda yang majoritinya berusia pertengahan 20-an dan akhir 30-an ini sekali lagi dibuktikan di dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-18 bersama ExxonMobil. Dan, hanya A. Samad yang masih bergaya bersama anak-anak muda dibarisan pemenang utama.

A.Samad memenangi dua hadiah bagi kategori rencana sastera berjudul Selera dan Rezeki Sastera serta Teater Dunia Yang Mengajar. Dengan kemenangan itu, beliau memperolehi hadiah berjumlah RM1,000.

Bagi kategori novel iaitu hadiah termahal sebanyak RM6,000 pula dimenangi oleh Faisal Tehrani melalui karyanya 1515. Tempat kedua dengan hadiah RM4,000 menjadi milik Zaid Akhtar dengan Rona Bosphorus manakala Merdekakah Cinta Ratna karya Sri Rahayu Mohd. Yusop di tempat ketiga dengan hadiah RM3,000.

Selain menguasai kategori novel, generasi muda juga mendominasi tiga hadiah utama kategori cerpen dengan nilai RM2,500 setiap satu. Kristal Makrifat, Geng 10 dan Seleberiti (Zainal Rashid Ahmad), Langit Putih di Bogor (SM Zakir) dan Tahun Depan di Jerusalem (Azman Husin) adalah bukti `kuasa muda' dalam sastera.

Teruji lagi kehebatan generasi ini apabila golongan mereka menguasai hadiah utama kategori cerpen remaja dengan nilai RM2,500 setiap pemenang. Cerpenis yang menang ialah Zainal Rashid Ahmad (Cinta Ahmad Mutawakkil), Jais Sahok (Madah Untuk Fadhilah) dan Mohd. Azlee Lee Abdullah (Sinar Ramadan).

Hadiah utama kategori puisi dengan jumlah RM1,000 juga menjadi medan penulis generasi muda bertarung sesama mereka. Negeriku Merdeka oleh Marjan S, Waktu Itu Antara Ramadan dan Syawal karya Shamsuddin Osman serta Warkah Luka dari Ramallah hasilan Husna Nazri benar-benar memecahkan tembok sastera.

Bagi hadiah penghargaan kategori cerpen bernilai RM800 setiap satu dimenangi oleh Mohd. Lutfi Ishak, Faizal Tehrani, Saifullizan Tahir, Samsiah Mohd. Nor, Siti Jasmina Ibrahim, SM Zakir dan Hashim Latiff.

Kategori penghargaan cerpen remaja pula dengan nilai harga yang sama ialah Aminah Mokhtar, Hamdan Kamaruddin, Raihanah Salleh, Saroja Theavy Balakrishnan, M. Saleh Mahayat dan Mohd. Kassim Mahmud.

Puisi bagi hadiah penghargaan dengan nilai RM500 dimenangi oleh Khadijah Hashim, Chu E Liang, Sahrunizam Abdul Talib, Aminah Mokhtar, Hilmi Rindu dan Ijamala MN.

Kategori kajian sastera dimenangi oleh Ding Choo Ming melalui tulisannya berjudul Manuskrip Melayu.

Hadiah-hadiah utama akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir jam 8 malam, Rabu ini di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

artikel

Penulis menyingkap isu semasa - Panel hHakim

Penulis yang karya cerpen remaja mereka disiarkan dalam penerbitan Kumpulan Utusan sepanjang tahun 2003 memperlihatkan keprihatinan terhadap isu-isu semasa seperti perang, sumbang mahram dan mencari jati diri bangsa.

Bagaimanapun masih terdapat penulis yang sekadar bercerita tetapi tidak mengupas idea dengan berkesan. Lalu idea yang segar tidak terserlah kerana pengolahan yang terlalu langsung dan bertele-tele.

Sementara dalam bagi kategori cerpen pula, panel hakim mendapati ada suatu yang memberangsangkan iaitu kemampuan penulis wanita yang keluar daripada kepompong tema kekeluargaan.

Sebaliknya mereka turut menulis tentang perang, ketidakadilan dan krisis di Asia Barat dan merungkai kezaliman Zionis yang menggugat kesejahteraan dunia.

Demikian antara rumusan panel juri Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2003. Panel terdiri daripada Datuk Dr. Anwar Ridhwan (Pengerusi), Dr. Amida Abdul Hamid, Mohamad Saleh Rahamad, A. Rahim Abdullah, Zaen Kasturi, Faizah Sulaiman, AF Yassin dan Kamariah Kamaruddin.

Panel hakim juga mengesani bahawa tema yang abstrak masih menjadi pilihan penulis cerpen. Tetapi ada ketikanya mereka taksub dengan sifat abstrak hingga penyampaiannya menjadi sukar difahami.

Secara keseluruhan, panel mendapati penulis cenderung menimba bahan daripada isu semasa dalam ruang lingkup politik, sosial dan budaya. Dalam keghairahan mengangkat isu semasa, penulis juga kerap terjebak dalam idea dan pengolahan yang klise.

Pada tahun 2003, panel hakim mendapati terlalu sedikit penulis mapan yang menghantar karya mereka kepada penerbitan Kumpulan Utusan. Penyertaan mereka pada masa depan amat diharapkan kerana ini boleh memberikan saingan yang sihat kepada penulis-penulis muda.

Dalam kategori puisi pula panel hakim mendapati penulis kebanyakannya menggunakan tema yang bersifat topikal hari kemerdekaan, peperangan di Iraq, bulan Ramadan dan Hari Raya.

Panel hakim mendapati sejumlah kecil puisi yang disiarkan dalam penerbitan Kumpulan Utusan terkeluar daripada tempurung ini. Antaranya puisi Empat Musim Anak Bangsa karya Razali Mohd. Yusof yang mengungkap patriotik dengan bahasa yang baik dan diksi yang terkawal.

Kesan emosi pada puisi ini dapat meninggalkan rasa cinta yang mendalam terhadap negara.

Sementara itu puisi Narator Dari Desir Angin karya Marjan S dari Pos Malaysia memperlihatkan daya kepenyairan yang berjaya mengawal emosi dan nada protes. Nada kerasnya sesuai dengan pemilihan kata dengan suara protesnya.

Marjan menuntut golongan pekerja atau kelas bawahan diberi pembelaan. Ikon narator pula menggambarkan pihak tertentu yang paradoks dalam tindakannya; dari satu sisi menjadi pejuang keadilan. Tetapi pada sisi yang lain menjadi penghalang golongan pekerja mendapatkan keadilan