Friday, July 10, 2009

artikel

Penulis menyingkap isu semasa - Panel hHakim

Penulis yang karya cerpen remaja mereka disiarkan dalam penerbitan Kumpulan Utusan sepanjang tahun 2003 memperlihatkan keprihatinan terhadap isu-isu semasa seperti perang, sumbang mahram dan mencari jati diri bangsa.

Bagaimanapun masih terdapat penulis yang sekadar bercerita tetapi tidak mengupas idea dengan berkesan. Lalu idea yang segar tidak terserlah kerana pengolahan yang terlalu langsung dan bertele-tele.

Sementara dalam bagi kategori cerpen pula, panel hakim mendapati ada suatu yang memberangsangkan iaitu kemampuan penulis wanita yang keluar daripada kepompong tema kekeluargaan.

Sebaliknya mereka turut menulis tentang perang, ketidakadilan dan krisis di Asia Barat dan merungkai kezaliman Zionis yang menggugat kesejahteraan dunia.

Demikian antara rumusan panel juri Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2003. Panel terdiri daripada Datuk Dr. Anwar Ridhwan (Pengerusi), Dr. Amida Abdul Hamid, Mohamad Saleh Rahamad, A. Rahim Abdullah, Zaen Kasturi, Faizah Sulaiman, AF Yassin dan Kamariah Kamaruddin.

Panel hakim juga mengesani bahawa tema yang abstrak masih menjadi pilihan penulis cerpen. Tetapi ada ketikanya mereka taksub dengan sifat abstrak hingga penyampaiannya menjadi sukar difahami.

Secara keseluruhan, panel mendapati penulis cenderung menimba bahan daripada isu semasa dalam ruang lingkup politik, sosial dan budaya. Dalam keghairahan mengangkat isu semasa, penulis juga kerap terjebak dalam idea dan pengolahan yang klise.

Pada tahun 2003, panel hakim mendapati terlalu sedikit penulis mapan yang menghantar karya mereka kepada penerbitan Kumpulan Utusan. Penyertaan mereka pada masa depan amat diharapkan kerana ini boleh memberikan saingan yang sihat kepada penulis-penulis muda.

Dalam kategori puisi pula panel hakim mendapati penulis kebanyakannya menggunakan tema yang bersifat topikal hari kemerdekaan, peperangan di Iraq, bulan Ramadan dan Hari Raya.

Panel hakim mendapati sejumlah kecil puisi yang disiarkan dalam penerbitan Kumpulan Utusan terkeluar daripada tempurung ini. Antaranya puisi Empat Musim Anak Bangsa karya Razali Mohd. Yusof yang mengungkap patriotik dengan bahasa yang baik dan diksi yang terkawal.

Kesan emosi pada puisi ini dapat meninggalkan rasa cinta yang mendalam terhadap negara.

Sementara itu puisi Narator Dari Desir Angin karya Marjan S dari Pos Malaysia memperlihatkan daya kepenyairan yang berjaya mengawal emosi dan nada protes. Nada kerasnya sesuai dengan pemilihan kata dengan suara protesnya.

Marjan menuntut golongan pekerja atau kelas bawahan diberi pembelaan. Ikon narator pula menggambarkan pihak tertentu yang paradoks dalam tindakannya; dari satu sisi menjadi pejuang keadilan. Tetapi pada sisi yang lain menjadi penghalang golongan pekerja mendapatkan keadilan

No comments: