Friday, July 10, 2009

Generasi muda - Terus dominasi hadiah sastera

Generasi muda - Terus dominasi hadiah sastera

Oleh SITI ROHAYAH ATTAN

SAMA ada mahu mengakui atau menafikan, ternyata dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini hadiah-hadiah utama dalam sastera kreatif didominasi oleh penulis generasi baru.

Kehadiran penulis seperti Faisal Tehrani, Zainal Rashid Ahmad, SM Zakir, Aminah Mokhtar, Siti Jasmina Ibrahim, Zaid Akhtar dan ramai lagi semakin dirasai bahangnya.

Menariknya, mereka ini bukan saja aktif dalam penulisan malah menjadikan persatuan, aktiviti sosial dan kebajikan sebagai landasan untuk menambah nilai diri mereka. Menu paling utama ialah melarikan diri dari klise di samping menjadikan penulisan landasan untuk mencari dan mencurah ilmu. Justeru, rujukan dan penyelidikan secara global menjadi fokus mereka.

Bagi menjadi penulis yang verstail, mereka tidak berkompromi dengan hanya satu genre malah melarikan diri dari kongkongan tersebut. Lihatlah Faisal, Siti Jasmina, Zainal dan Aminah yang mampu menguasai novel, cerpen, puisi dan drama.

Fenomena ini mungkin tidak maksimum dikuasai oleh penulis mapan kerana kebanyakan mereka terarah hanya satu genre. Hanya Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said yang mampu menjadi teladan dengan penghasilan yang pelbagai dan konsisten. Karyanya pula mendapat tempat yang baik dalam masyarakat.

Sikap berkarya dengan `mata hati' dan pergaulan yang tiada jurang milik A. Samad ini menjadi idola penulis muda. Sekian ramai penulis generasi muda menimba pengalaman bergaul dengan masyarakat berdasarkan gaya hidup Samad.

Terbaru, penguasaan penulis generasi muda yang majoritinya berusia pertengahan 20-an dan akhir 30-an ini sekali lagi dibuktikan di dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-18 bersama ExxonMobil. Dan, hanya A. Samad yang masih bergaya bersama anak-anak muda dibarisan pemenang utama.

A.Samad memenangi dua hadiah bagi kategori rencana sastera berjudul Selera dan Rezeki Sastera serta Teater Dunia Yang Mengajar. Dengan kemenangan itu, beliau memperolehi hadiah berjumlah RM1,000.

Bagi kategori novel iaitu hadiah termahal sebanyak RM6,000 pula dimenangi oleh Faisal Tehrani melalui karyanya 1515. Tempat kedua dengan hadiah RM4,000 menjadi milik Zaid Akhtar dengan Rona Bosphorus manakala Merdekakah Cinta Ratna karya Sri Rahayu Mohd. Yusop di tempat ketiga dengan hadiah RM3,000.

Selain menguasai kategori novel, generasi muda juga mendominasi tiga hadiah utama kategori cerpen dengan nilai RM2,500 setiap satu. Kristal Makrifat, Geng 10 dan Seleberiti (Zainal Rashid Ahmad), Langit Putih di Bogor (SM Zakir) dan Tahun Depan di Jerusalem (Azman Husin) adalah bukti `kuasa muda' dalam sastera.

Teruji lagi kehebatan generasi ini apabila golongan mereka menguasai hadiah utama kategori cerpen remaja dengan nilai RM2,500 setiap pemenang. Cerpenis yang menang ialah Zainal Rashid Ahmad (Cinta Ahmad Mutawakkil), Jais Sahok (Madah Untuk Fadhilah) dan Mohd. Azlee Lee Abdullah (Sinar Ramadan).

Hadiah utama kategori puisi dengan jumlah RM1,000 juga menjadi medan penulis generasi muda bertarung sesama mereka. Negeriku Merdeka oleh Marjan S, Waktu Itu Antara Ramadan dan Syawal karya Shamsuddin Osman serta Warkah Luka dari Ramallah hasilan Husna Nazri benar-benar memecahkan tembok sastera.

Bagi hadiah penghargaan kategori cerpen bernilai RM800 setiap satu dimenangi oleh Mohd. Lutfi Ishak, Faizal Tehrani, Saifullizan Tahir, Samsiah Mohd. Nor, Siti Jasmina Ibrahim, SM Zakir dan Hashim Latiff.

Kategori penghargaan cerpen remaja pula dengan nilai harga yang sama ialah Aminah Mokhtar, Hamdan Kamaruddin, Raihanah Salleh, Saroja Theavy Balakrishnan, M. Saleh Mahayat dan Mohd. Kassim Mahmud.

Puisi bagi hadiah penghargaan dengan nilai RM500 dimenangi oleh Khadijah Hashim, Chu E Liang, Sahrunizam Abdul Talib, Aminah Mokhtar, Hilmi Rindu dan Ijamala MN.

Kategori kajian sastera dimenangi oleh Ding Choo Ming melalui tulisannya berjudul Manuskrip Melayu.

Hadiah-hadiah utama akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir jam 8 malam, Rabu ini di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

No comments: