Friday, July 17, 2009

bintang-bintang beserakan/PUISI

BINTANG-BINTANG BESERAKAN

Diatas pentas itu dia sebut nama mu

Diatas kertas itu dia mencatat nama mu

Bernada malu dalam lagu berkata syahdu

Ternyata kata-kata itu bukan ucap karyamu

Gelisah mu bukan menanti detik bermula

Tapi gelisah menanti detik bersurai acara

Kerana kau takut terdengar kata-kata cerca

Siapakah si penyair tak punyai hasil karya

Datang bersama malam bersantai dipinggir kota

Terasing jauh dari kelompok tuan ampunya acara

Bukan sakit mata atau terasa majlis tak bermakna

Kerana kau tak menemui apa bernama sebenarnya

Bintang-bintang beserakan umpama daki perjuangan

Kerdip nur mu tak terbisa menyuluh lorong kegelapan

Cuma mampu menjadi kerdip hias pentas-pentas liburan

Dan sesekali menjadi penyendal akal saban hari tertekan

Siapakah bersalah – siapakah tersalah membena pentas itu

Mengisi seribu sia-sia dengan lagaknya primadona melayu

Membicarakan tentang cinta setia menanti kembalinya rindu

Atau sekadar membena watak-watak iringan kenangan lalu

Marjan S

KL

utusan malaysia 27 may 2009 Pos Malaysia minta kementerian kaji gaji posmen

ARKIB : 27/05/2009

Pos Malaysia minta kementerian kaji gaji posmen

KUALA LUMPUR 26 Mei – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) meminta kerajaan segera mengkaji kadar gaji posmen di negara ini yang dianggap rendah berbanding kakitangan kerajaan lain.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, satu memorandum cadangan tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

“Kami amat berharap kementerian dapat meneliti memorandum ini secara terperinci dan meluluskan cadangan berkenaan.

“Ia penting bagi mengelakkan posmen sedia ada berhenti kerana pendapatan rendah dan memastikan lebih ramai berminat mengisi jawatan sebagai posmen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan Kewangan Pos Malaysia bagi tahun 2008 di sini hari ini.

Aseh berkata, bagi keputusan kewangan berakhir 31 Disember 2008, Pos Malaysia memperoleh hasil sejumlah RM921.7 juta yang mana mencatatkan kenaikan 7.3 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, peningkatan hasil itu dicapai melalui sumbangan Unit Perniagaan Strategik (SBU) dengan pertumbuhan berganda daripada unit runcit (PosNiaga) yang mencatatkan kenaikan 22.1 peratus dan kurier (PosLaju & Asiaxpress) yang meningkat 11.9 peratus.

Tambahnya, PosMel terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan iaitu 61.4 peratus atau RM566.0 juta diikuti PosLaju dengan jumlah kurier 11.5 juta manakala PosNiaga menjadi penyumbang ketiga dengan jumlah urusniaga perniagaan mencecah RM114.5 juta.

artikel utusan malaysia 17 julai 2009

Pos Malaysia urus 1 bilion surat


TIGA pekerja pos malaysia melakukan proses penyisihan bagi memastikan surat diterima pada masa yang telah ditetapkan oleh syarikat itu. - GAMBAR HIASAN


KUALA LUMPUR 17 Julai - Meskipun menghadapi saingan sengit daripada sistem komunikasi pantas dan moden, beban kerja posmen tidak berkurangan, mengedarkan purata satu bilion surat dan bungkusan setahun.

Senarai perkhidmatan yang disediakan oleh Pos Malaysia Bhd., yang sudah wujud lebih dari 175 tahun, semakin meningkat berdasarkan kedudukannya sebagai penyedia eksklusif perkhidmatan mel di Malaysia.

Berdasarkan data, Pos Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia, dan merupakan penyedia pelbagai perkhidmatan, kini mengendalikan mel konvensional sebanyak 1.271 bilion pada 2008.

Pada taklimat kepada anggota Benita, persatuan kakitangan Bernama baru-baru ini, jurucakap Pos Malaysia berkata, syarikat itu komited untuk meningkatkan produk dan perkhidmatannya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat.

Empat puluh peratus perniagaannya dikendalikan di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, ibu pejabat Pos Malaysia yang mempunyai kakitangan seramai 2,400 orang, mengendalikan purata 800,000 mel sehari.

Kebanyakan mel yang dikendalikan oleh Pos Malaysia berkaitan dengan perniagaan seperti penyata bank, penyata kad kredit, bil dan sebagainya.

Terdapat 8,000 posmen di negara ini dengan 1,600 bertugas di Kuala Lumpur.

Daripada 1,600 posmen di sini, 50 terdiri daripada wanita yang dikenali sebagai Posnita yang ditugaskan menjalankan tugas mengekod di ibu pejabat.

Jurucakap itu berkata, Pos Malaysia menetapkan standard perkhidmatan yang realistik iaitu penyampaian hari berikutnya selepas mel dipos bagi penghantaran mel tempatan, dua hari antara bandar-bandar utama dan 3 hingga 4 hari antara tempat lain dalam negara.

Pada masa ini Pos Malaysia mengurus rangkaian bagi lebih 1,000 premis di seluruh negara seperti Pejabat Pos Besar, pejabat-pejabat pos, pejabat pos mini dan pejabat pos bergerak.

Ia mengaji lebih 16,000 pekerja di seluruh negara.

Orang ramai boleh melakukan lebih daripada 160 transaksi berbeza di kaunter pejabat pos yang menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk mengutip bayaran bil utiliti, pembayaran pencen, memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, selain membayar bil-bil telefon mudah alih.

Perkhidmatan pos, kemudiannya Jabatan Perkhidmatan Pos, sudah berkembang sejak ia hanya menghantar surat, dokumen perniagaan dan akhbar kepada kediaman di seluruh negara.

Pengalaman luasnya membentuk asas kukuh bagi menyokong penstrukturan besar-besarnya apabila menjadi sebuah entiti korporat pada 1992.

Pada 2003, Pos Malaysia menstruktur semua keseluruhan operasinya menjadi empat unit perniagaan strategik - PosMel, PosLaju, PosNiaga dad PosLogistik - supaya lebih fokus terhadap pelbagai pelanggan dan pasarannya.

Statistik menunjukkan khidmat mel konvensional menyumbang RM566 juta dari segi perolehan kepada syarikat pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, menjadikannya penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat.

Bagi tahun 2008, Pos Malaysia mencatatkan kerugian bersih RM33.3 juta berbanding perolehan sebanyak RM921.7 juta, meskipun ia mencatat keuntungan operasi.

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya , Datuk Syed Faisal Albar menyuarakan keyakinan beliau bahawa Pos Malaysia akan kembali mencatatkan keuntungan dalam tahun kewangan semasa.

Bagi Faisal yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press Bhd (NSTP), cabaran bagi Pos Malaysia ialah meningkatkan khidmat pelanggannya. - BERNAMA

Wednesday, July 15, 2009

JANJI YANG TERTINGGAL

JANJI YANG TERTINGGAL

Mudahnya menyusun kata-kata

Tanpa menyelongkar kesannya

Membena janji tanpa kotanya

Bagaikan senjata makan tuannya

Dia si pintar pemain silangkata

Beralaskan peribahasa bonda

Kerbau berpegang pada tali

Janji tak berpegang pada budi

Hari ini berjuta pengemis tertipu

Dek kata-kata mereka semanis madu

Hari ini si pendusta senyum sipu-sipu

Berjaya menabur janji-janji palsu

Hari ini seorang tua menangis tersedu

Melihat seorang muda menjadi anak hantu

Menyelongkar kesalahan menutup kebenaran

Takut-takut jikalau kejayaan tak berkekalan

Dia dianggap pemuda harapan masa depan

Menjadi lembing sumbing menikam kawan

Mencipta sejarah sebagai bangsa tak bermaruah

Mengambil kesempatan dari mereka berjiwa lemah

MarjanS

POS MALAYSIA

puisi

IKRAM PUJANGGA

Tak teralun lagi madah berhemah

Memujuk jiwa hampa kian parah

Senyuman dalam tangisan berhelah

Inilah ikram pujangga bermaruah

Penyair menangis di padang kata

Kecewa kerana bangsanya dihina

Lembut kata tidak lagi berharga

Kerana terpaut kata sibuta bahasa

Lihatlah pada petaram dijulang

Dikucup bagaikan sigila bayang

Rela melihat pejuang kecundang

Demi menanti kekayaan ditatang

Dimana bangsaku bersifat pemalu

Disindirkan mereka datang bertamu

Bila melihat sicetek akal tapi berilmu

Sanggup melihat bangsa terus ditipu

Ikram pujangga tak lagi berharga – dimulia

Kata mereka sekadar mengkolotkan bangsa

Bangsa tak kemana selagi bahasa dimulia

Siapa terus papa sikaya terus menipu daya

Marjan S

POS MALAYSIA

Tuesday, July 14, 2009

PUISI

BAHASA YANG BAKAL DIGADAI

Akhirnya ternyata jua mimpi kita

Menjadi satu bangsa kaya bahasa

Punya yakin diri meneroka dunia

Gagah dengan seribu daya budaya

Bila keluhan nasib pujangga terbela

Selama dilantun dengan cemuh hina

Hari ini – tersenyumlah pecinta bahasa

Perjuangan suci teramat tinggi harganya

Walau pedih mata akhirnya lapang didada

Bangsaku tak mungkin tersesat lagi di dunia

Mencari melayu berjiwa ikhlas menuntut bela

Menyambung kembali semangat moyang bonda

Katakan pada kuntum terumbu didasar lautan dalam

Satu ketika dulu jiwa pujangga hampir remuk redam

Angkara para khalayak petualang bangsa berhati hitam

Membunuh bangsa dengan lembut kata tapi baur kejam

Demi melangsai segala hutang janji kepada penjajah silam

Dengan segenap tipu daya memutar belitkan makna merdeka

Namun disebaliknya ada tersembunyi rasa kecewa pujangga

Bila keputusan dibuat hanyalah bersifat sementara semata-mata

Apa bila perasaan takut hilang percaya mengepung putaran minda

Dalam senyum bangsa akan berpaling tadah menyokong pecinta

Berakhir juga sudahnya propaganda siputar alam disatu ketika

Satu hari sejarah bernama hari pemilihan pucuk pimpinan Negara

Marjan S

BIla Keputusan Kerajaan Menangguhkan PPSMI

Apakah Kejayaan Memihak Kepada Pencinta Bahasa

PPSMI ditangguhkan sehingga tahun 2012, apakah ianya satu keputusan yang jujur atau sekadar ada sebab-sebab tertentu melibatkan kepentingan kerajaan, kalau tidak apakah alasan yang reliven bagi pihak kerajaan untuk berdepan dengan khalayak yang beria-ria menyokong kerajaan untuk melaksanakan sistem pendidikan sains dan matametik dalam bahasa inggeris.

Adakah dengan keputusan itu pihak kerajaan akan mengkaji semula peranan Institut Terjemahan Negara dalam mengendalikan kemasukan bahan ilmiah dari Negara luar seperti mana dilakukan oleh Negara-negara maju seperti Jepun, Prancis dan Jerman jelasnya Negara-negara berikut telah berjaya menghidupkan peranan Institut terjemahan Negara mereka dalam menterjemahkan bahan ilmiah dari Negara luar kedalam bahasa ibunda mereka. Persoalannya, kenapa kita tidak menuruti jejak mereka demi kabaikan bangsa kita