ANTARA AKU - BINATANG ANJING DAN PEREMPUAN JALANG
Di jalanan kota yang semakin dirangkul sunyi
aku leka dengan pencarian yang tak terarah
meredah gelap malam yang diselubungi debu
mencari halal nafsu sambil menyelongkar kemuliaan
antara aku - binatang anjing dan perempuan jalang
siapa yang wajar hidup atau pun mati kerana lapar
meminta – menyalak – menadah tanpa rasa malu
dalam gelap kota kepada khalayak yang kekenyangan
bertanya hati kecil apabila tercium hanyir kota
untuk apa aku datang melamar derita di sini
sesekali ku terdengar merdu suara ibu menyapa
bertanya khabar dan mengajak aku pulang ke desa
bertelingkah suara binatang anjing menyalak memanggil tuan
dan lambaian perempuan jalang mengajak aku ke ranjang
sedangkan aku masih alpa mencari makna mimpi semalam
antara kota dan manusia masihkah menghimpun kemuliaan
aku – binatang anjing dan perempuan jalang
mengharap agar dapat menatap matahari esok
menyaksikan sandiwara kemuliaan dalam dusta
kerana kematian kami masih belum sampai masa
Tuhan – keluh ini bukan aku tak mampu menanggung takdir Mu
aku sedar ada hikmah suci disebalik derita ini yang bukan abadi
kerana aku masih tak mengerti makna kemuliaan insan
masihkah ada keikhlasan yang tak pernah meminta balasan
MarjanS
Kuala Lumpur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment